Tanpa sedar, kita banyak hutang dengan anak.

Tak pernah jarang, kita marah anak saat kita lelah. Kita bentak anak, padahal mereka belum benar-benar faham kesalahan yang mereka lakukan. Kita buat anak menangis, memaksa mereka dengar dan faham kita.

Namun..
seburuk mana pun kita memperlakukan mereka,
segalak mana pun kita membentak mereka,
sebengis mana pun kita marahkan mereka—
mereka tetap mendatangi kita dengan senyuman kecil itu.

Mereka tetap sudi menghiburkan kita dengan ketawa kecil mereka.
Mereka tetap mahu menggenggam tangan kita, yang mungkin baru sahaja mengasari mereka.

Seolah semuanya baik-baik sahaja.
Seolah tak pernah terjadi apa-apa sebelumnya.
Seolah tak pernah ada luka dan sakit yang mereka rasai.

Mereka ada cinta yang terlalu besar buat kita.
Meskipun cinta itu tak pernah dibalas secukupnya.

Kita rasa kita lah yang bekerja keras demi kebahagiaan mereka. Tapi hakikatnya, mereka juga tak pernah berhenti membahagiakan di setiap celahan sisa waktu dan lelah tenaga kita setiap hari.

Kita rasa kita lah yang menghibur dan menghapus air mata mereka. Tapi hakikatnya, mereka juga selalu menghapus kesedihan dan kepenatan di hati kita.

Tanpa sedar, kita banyak berhutang dengan anak.

Dalam 24 jam, berapa lamakah waktu yang kita luangkan untuk berbicara, untuk mendengar, untuk mendakap, untuk bermain, atau sekurang-kurangnya untuk menatap wajah comel mereka?

Sejak anak itu dipinjamkan ke dalam hidup kita, adakah kita benar-benar hargai kehadiran mereka? Adakah kita telah cukup membahagiakan dan mengukir senyuman di wajah mereka?

Maka benar sungguh—
anak yang kita sangkakan tin kosong itu lah yang telah banyak mengajar kita erti kehidupan.

Tanpa kita sedar, anak lah yang “lebih dewasa” dan lebih ikhlas menyayangi berbanding kita.

Tanpa kita sedar, anak lah yang banyak luruskan benda-benda bengkok pada diri kita.

Seteruk mana pun kita sebagai ibu bapa, mereka tak pernah lelah berusaha untuk jadi anak-anak terbaik yang pernah kita miliki.

Tanpa sedar, kita banyak berhutang dengan anak.

Mereka setiap hari menjadi korban dek kelemahan kita dalam mengawal emosi.
Mereka setiap hari menjadi mangsa ketidakmatangan kita dalam menempuh alam kedewasaan.
Mereka setiap hari terpinga-pinga menanggung sakit itu seorang diri.
Mereka barangkali terkorban masa depannya gara-gara kejahilan dan kezaliman tangan-tangan kita.

Tapi lihatlah mereka—
tetap tersenyum,
tetap memberi cinta dan kasih yang tidak terbatas,
tetap selalu mahu buat kita bahagia.

Ayuh ibu ayah,
dakaplah anak-anakmu,
tataplah mata mereka sedalamnya,
rasakanlah kasih sayang mereka,
dan rasakanlah keinsafan di hatimu.

Anak-anak ku,
untuk yang keseratus juta kalinya,
maafkanlah kejahilan dan kezaliman kami sebelum ini.
Halalkanlah hutang-hutang kami yang belum terbayarkan.

Terima kasih sentiasa sudi menyayangi kami.
Terima kasih sentiasa menyinari hidup kami.
Terima kasih sentiasa memaksa kami jadi manusia lebih baik setiap hari.

Salam 26 Ramadan, semua.
Semoga sentiasa berada dalam pelukan rahmat tuhan.

– Adlil Rajiah

Dapatkan 15 VIDEO PANDUAN LENGKAP URUS EMOSI & KAWAL MARAH, dengan diskaun 50% sekarang.

Leave a comment